Tuesday, February 1, 2011

Kepercayaan orang Melayu terhadap ular tedung (BH, 02.02.11)

Oleh Noor Hasnah Adam

ULAR tedung hitam adalah sejenis ular tedung yang banyak terdapat di Nusantara.

Ular tedung hitam sering ditemui di sekitar sungai, hutan, sawah dan ladang.

Ular tedung hitam agresif, tangkas dan amat berani. Sekiranya terasa terancam, ular tedung akan berdiri tegak tinggi, leher dikembangkan dan digoyang-goyangkan.

Ular tedung atau ular senduk memang menggerunkan sesiapa sahaja. Lebih-lebih lagi apabila kepingan kulit dan otot di belakang kepala dikembangkan.

Tujuan ular tedung mengembangkan kulit dan otot adalah supaya ular tedung kelihatan lebih besar lantas menggerunkan lawan atau mangsa.

Racun berbisa akan disemburkan ke mata lawan atau mangsa untuk melemahkan mereka sebelum dipatuk. Sekiranya terkena pada mata, racun bisa itu boleh membutakan.

Taring ular tedung seumpama alat penyuntik kerana berliang dan patukan itu adalah bisa yang membunuh.

Kandungan bisa ular tedung itu boleh membunuh seekor gajah atau 20 hingga 30 orang manusia.

Bisa ular tedung berfungsi untuk melumpuhkan dan membunuh serta bertindak sebagai ejen penghadaman.

Mangsa patukan ular tedung akan mengalami bengkak pada gigitan dan kemudian lumpuh otot muka, bibir, lidah, saluran pernafasan, pandangan kabur, sawan, berpeluh dan mengeluarkan air liur yang banyak. Seterusnya, akan memberi kesan pada saraf, jantung dan darah.

KEPERCAYAAN ORANG MELAYU

Tedung adalah haiwan pemangsa yang berbisa. Namun ramai yang tidak tahu bahawa ular tedung hitam merupakan ubat penawar yang terkenal dalam ilmu perubatan Melayu.

Orang Melayu percaya bahawa ular tedung hitam boleh dijadikan ubat untuk merawat penyakit serius seperti kencing manis dan darah tinggi.

Mengikut kepercayaan masyarakat Melayu, hanya haiwan berbisa sahaja yang mempunyai geliga.

Jika terlihat ular tedung memakan ular lain, bunuhlah tedung itu dan ambil geliganya.

Geliga ular tedung, selain dikatakan mampu mengubat banyak penyakit serius, memang mujarab untuk menawar bisa patukan ular tedung serta sengatan berbisa haiwan lain.

Menurut petua orang Melayu juga, untuk tujuan pengubatan orang yang dipatuk ular, geliga ular itu mestilah direndam ke dalam air.

Kemudian, geliga itu diletakkan pada tempat patukan ular. Geliga itu akan melekat pada tempat patukan ular itu dan seolah-olah menyerap racun bisa patukan itu.

Menurut petua lama ini juga, biasanya mangsa dapat diselamatkan dengan menggunakan geliga ular.

Darah ular tedung hitam juga dikatakan mempunyai banyak khasiat. Orang Melayu memberi petua agar meminum darah ular tedung hitam supaya tubuh kekal sasa, bertambah kuat dan memberi tenaga dalaman.

KAYAP ULAR

Sekiranya ular tedung menggerunkan manusia, penyakit kayap ular juga amat ditakuti. 'Kayap ular' adalah gelaran orang Melayu untuk sejenis penyakit kulit.

Orang yang mengalami kayap ular akan mengalami kudis, bintik bintik merah yang terlalu gatal, berair dan merenyam. Peliknya, tompok-tompok merah ini melingkar keliling badan sehingga menampakkan bentuk seperti ular yang membelit badan.

Menurut kepercayaan Melayu, sekiranya 'belitan' itu bercantum, ia boleh membawa maut.

Sebenarnya kayap ular tidak membunuh dengan lingkaran cantum tetapi penyakit ini merosakkan urat saraf 'rasa' seseorang seperti juga disebabkan oleh penyakit batuk kering barah dan leukemia.

Menurut perubatan Melayu, kayap ular boleh dirawat dengan cara menyembur kunyahan sirih tiga kali pada kulit berkayap itu.

Selain itu, boleh juga ambil 10 duri pokok kekabu. Asahkan duri itu sehingga keluar cecair dan sapukan cecair itu pada kulit berkayap. Cara lain pula, ambil sebatang keladi candik, ambil air daripada batang keladi itu dan sapukan pada kulit yang berkayap.

Namun, ada juga petua kayap ular yang menggelikan hati. Petua Melayu menyuruh kita mencari wanita yang dahulu janda tetapi telah berkahwin dengan lelaki bujang. Air liur wanita itu penting untuk mengubati penyakit kayap ular. Wanita itu perlu mengunyah kelapa yang diparut bercampur dengan gula Melaka. Kemudian, semburkan pada kulit berkayap. Ada juga yang mengatakan, lelaki bujang yang mengahwini janda boleh juga mengubati penyakit kayap dengan cara menyembur air putih pada kulit berkayap.

PERIBAHASA DAN MIMPI ULAR

Manusia Melayu menerima kewujudan ular, serasi dengan kehidupan di kampung dan hutan.

Justeru banyaklah peribahasa tentang ular yang tercipta. Namun ular selalu dikaitkan dengan suatu yang negatif kerana dalam pandangan dunia Melayu, jin banyak menyerupai ular jadian untuk memudaratkan hidup manusia.

Peribahasa 'ular bukan, ikan pun bukan' bermaksud orang yang tidak dapat ditentukan baiknya. 'Ular kepala dua' dan 'sekerat ular sekerat belut' bermaksud orang yang munafik dan tidak teguh memegang kata-katanya.

Peribahasa 'biar ular mati dan kayu jangan patah' bermaksud binasakanlah musuh dengan tidak membinasakan diri sendiri.

Jika bermimpi dipatuk ular, seseorang itu akan mendapat jodoh.

Jika bermimpi ular mengejar seseorang, ada ahli keluarga yang sedang dilamun cinta.

Namun sekiranya mimpi dibelit ular seluruh badan, sesuatu yang buruk bakal berlaku. Apatah lagi sekiranya bermimpi ular hitam, itu adalah jelmaan syaitan yang cuba mengganggu.

Orang tua-tua percaya sekiranya ular hitam wujud dalam mimpi, itu adalah syaitan yang dikirim secara ilmu hitam untuk membinasakan kita oleh seseorang yang berniat jahat.

Teka-teki berpantun berikut pula menggunakan perbandingan ular untuk menggambarkan maksud:

Jika tuan membeli tikar,
Tikar anyaman dari mengkuang;
Kalau Tuan bijak pintar,
Ular apa membelit pinggang ?

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,181268,00.html?

No comments: