Tuesday, February 15, 2011

Kisah Amuk di Kg Intan (BH, 16.02.11)

Oleh Karim Iskandar

BUSSORAH Street ialah sebuah jalan pendek menuju ke Masjid Sultan.

Ia terbahagi dua, dipisahkan oleh Baghdad Street. Kawasan sekitar jalan ini memang sudah terkenal dan mempunyai banyak sejarah sejak 1800-an lagi.

Bussorah Street di sebelah Masjid Sultan diberi nama Kampung Khaji atau Kampung Haji (nama Kampung Khaji sampai sekarang).

Satu lagi bahagian Bussorah Street di sebelah Beach Road dahulu dipanggil Kampung Tembaga kerana terdapat penduduk yang rajin membuat periuk daripada tembaga.

Kampung Khaji mendapat namanya kerana di situlah ramai orang Melayu membuat jubah, gamis, songkok dan capal.

Malah ia menjadi pusat belanja bagi mereka yang ingin ke Makkah menunaikan ibadah haji.

Baghdad Street pula dikenali sebagai Kampung Intan kerana di situlah terdapat orang Melayu menjual dan mencanai emas, intan dan berlian.

Ada satu peristiwa hitam yang pernah terjadi di Kampung Intan yang menggemparkan.

Menurut penduduk lama di kawasan tersebut, kisah Wak Cantuk mengamuk dan membunuh 11 orang terpahat dalam ingatan mereka.

Ia dikatakan berlaku sekitar 1850-an di Kampung Intan (Baghdad Street) dan sekitar Arab Street dan Kampong Bali (sekarang Bali Lane).

Wak Cantuk sebenarnya hanyalah satu gelaran. Tiada siapa yang tahu nama sebenarnya. Asal-usulnya juga tiada siapa yang tahu.

Cuma, ada yang mengatakan Wak Cantuk adalah orang Bugis atau Aceh yang muncul dari Jawa Road, tempat ramai orang berketurunan Bugis tinggal.

Ada yang mengenalinya sebagai perantau dan mahir dalam perubatan bekam.
Dari situlah Wak Cantuk (bekam) mendapat namanya.

Menurut cerita orang lama, Wak Cantuk berkulit sawo matang dan kepalanya separuh botak. Beliau suka menyendiri, tidak suka bercakap dan tidak ada ramai kawan.

Hampir setiap hari beliau memakai baju berwarna hitam dan seluar pendek ke bawah lutut.

Kain samping diikat keliling perutnya. Di belakang badannya tergantung alat-alat bekam di samping sebilah golok semacam rencong Aceh (golok Aceh) dan dia dikhabarkan berusia 40-an.

Pada suatu Jumaat pagi, seperti biasa Wak Cantuk ke Kampung Intan (Baghdad Street) untuk bersarapan di Warong Wak Darban.

Menurut cerita, anak dara Wak Darban bernama Samirah melayani pelanggan yang makan dan minum termasuk, Wak Cantuk.

Setelah lama menjadi pelanggan tetap, Wak Cantuk mendapat layanan yang baik daripada Samirah. Rupa-rupanya dalam diam, Wak Cantuk terpaut dan menaruh perasaan terhadap Samirah. Tidak seperti pemuda kampung, Wak Cantuk sering mengusik dan mencolek tangan Samirah.

Entah di mana silapnya, pada pagi Jumaat itu, Wak Cantuk tidak dilayan Samirah.
Apabila Wak Cantuk terus mengusik, Samirah meludah muka orang tua itu. Tersirap darahnya. Harga dirinya jatuh. Malunya bukan main kerana kejadian itu disaksikan ramai orang.

Lantas beliau mencabut goloknya dan menusuk Samirah dan gadis itu menjerit langsung rebah di paip air depan rumahnya.

Mendengar jeritan anak gadisnya, Wak Darman meluru keluar tetapi golok Wak Cantuk terus menyambutnya.

Kampung Intan gempar seketika kerana ada yang berteriak, 'Wak Cantuk ngamuk!! Wak Cantuk ngamuk!!'

Wak Cantuk kemudian berlari ke dalam rumah Wak Darban. Ibu Samirah dan pembantunya pula turut dibunuh. Dalam sekelip mata, empat manusia tumbang. Empat orang jiran Wak Darban juga jadi mangsa.

Wak Cantuk mengamuk bak Hang Jebat lagaknya. Siapa saja yang melintas di depannya dirodok goloknya.

Wak Cantuk semakin buas macam binatang yang sedang kelaparan semacam tiada yang boleh menewaskannya, selepas 11 mayat jatuh bergelimpangan.

Mujur ada Wak Gani, seorang pesilat yang bekerja menjaga kuda di sebuah bangsal.

Wak Gani tenang menghadapi Wak Cantuk. Maka terjadilah pertarungan antara Wak Cantuk dan Wak Gani.

Pertarungan itu disaksikan ramai orang kampung yang baru berani keluar rumah, termasuk puluhan anak muda kampung dari jauh membawa kayu.

Kaki Wak Cantuk tersandung batu. Beliau tersungkur. Tanpa berlengah, keris Wak Gani hinggap bertubi-tubi ke tubuhnya.

Seketika itu, tubuh Wak Cantuk longlai tidak bergerak. Orang kampung yang sangat radang terus menerpa dan menikam mayat Wak Cantuk hingga hancur luluh jadinya.

Mayat Wak Cantuk dan mangsa lain dikebumikan di kubur Aljunied di Victoria Street pada keesokan harinya.

Nota: Karim Iskandar ialah penulis sambilan.

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,182126,00.html?

No comments: