Tuesday, February 8, 2011

Perlu buat perancangan jika tiada zuriat (BH, 09.02.11)

Oleh Suhaimi Salleh

'Eh kenapa si Rahim tu tak pulangkan kunci kereta kita, Fatma?' tanya Laili, ibu Fatma.

'Entahlah Mak. Sejak dia pakai kereta untuk ke pusara tadi, muka dia terus tak nampak,' kata Fatma.

'Cuba engkau telefon dia. Nanti besok kalau engkau nak pakai kereta, susah pulak nanti. Besok kita nak pergi pasar. Banyak nak beli untuk majlis tahlil nanti,' kata Laili.

'Baiklah Mak,' kata Fatma sambil mencapai telefon bimbitnya.

Pagi itu, mereka berdua baru sahaja kehilangan orang yang mereka sayangi - Daud, suami Laili, yang juga bapa angkat Fatma. Daud menghembuskan nafasnya yang akhir sekitar 7 pagi akibat barah paru-paru.

Penyakit barahnya itu baru diketahui Daud setahun lalu. Sebelum itu, Daud telah mula batuk-batuk. Batuknya tidak sembuh-sembuh walaupun pelbagai ubat telah dimakannya. Kerana itu, doktor keluarganya menyarankan supaya pemeriksaan rapi dilakukan. Keputusan pemeriksaan tersebut menunjukkan Daud menghidapi barah paru-paru peringkat ketiga.

Jenazah Daud selamat disemadikan selepas solat zuhur. Kereta Daud digunakan anak saudaranya, Rahim, bagi membawa Laili dan Fatma ke pusara.

'Saya nak jumpa kawan dulu ya, Mak Cik. Nanti saya bawa kereta ni balik,' kata Rahim sejurus selepas menghantar Laili dan Fatma pulang dari pusara.

'Yalah Rahim. Engkau jalan baik-baik,' kata Laili.

Namun sudah hampir 11 malam Rahim tidak muncul-muncul. Kesemua saudara-mara yang berziarah sudah pulang. Kini tinggal Laili dan Fatma di rumah.

Farhan, bapa Rahim, adalah satu-satunya saudara seibu sebapa Daud. Walaupun beliau datang menziarahi jenazah abangnya itu, Farhan bergegas pulang selepas menghantar jenazah Daud ke pusara. Majlis tahlil yang diadakan selepas maghrib di rumah Laili juga tidak dihadirinya.

Hubungan Allahyarham Daud dengan adiknya Farhan memang agak tegang. Pernah mereka bertengkar besar sejurus selepas bapa mereka meninggal dunia. Farhan tidak sabar-sabar ingin menuntut haknya ke atas harta pusaka bapanya itu, walaupun ibu mereka masih hidup. Nak bayar hutangnya, kata Farhan.

'Helo Abang Rahim ya? Ini Fatmalah. Abang... bila abang Rahim nak hantar kereta Fatma balik? Besok Fatma nak pakai kereta. Nak pergi pasar,' tanya Fatma, sejurus selepas Rahim menjawab panggilan telefonnya.

'Begini ajelah Fatma. Biar bapa aku saja yang cakap dengan kau,' kata Rahim.

'Pak... Fatma telefon,' kedengaran Fatma bisikan Rahim kepada bapanya.

'Helo, Fatma ya. Begini Fatma. Pak Cik rasa tak perlu lagi Pak Cik pulangkan kereta itu pada engkau. Kereta tu sekarang Pak Cik punya kerana Pak Cik satu-satunya adik arwah bapa kau. Pak Cik berhak tiga perempat daripada harta pusaka arwahnya. Jadi lebih baik Pak Cik simpan dan pakai saja kereta itu,' Farhan menerangkan.

'Besok Pak Cik akan ke pejabat peguam untuk melantik diri Pak Cik sebagai pentadbir harta pusaka arwahnya. Surat mati arwahnya yang asli pun sudah ada pada Pak Cik. Jadi tak menjadi masalah bagi Pak Cik uruskan pembahagian harta pusaka arwahnya nanti,' sambung Rahim.

Fatma tersentak. Tidak disangka bapa saudaranya akan bertindak melulu seperti itu.
'Tapi, kenapa bapa saudara aku mendapat tiga perempat. Bukankah bapa aku ada isteri dan anak perempuan. Jadi ibu dan aku juga berhak kepada harta pusaka bapa aku,' bisik hati Fatma. Fikirannya kembali kepada ceramah agama yang pernah diikutinya beberapa bulan lalu.

Lidah Fatma kelu tanpa kata.

Farhan dapat meneka bisikan hati Fatma.

'Fatma... Engkau mungkin tertanya-tanya kenapa pak cik dapat tiga perempat. Sebenarnya begini. Engkau tak ada hak kepada harta pusaka bapa kau. Engkau tak tahu ke yang engkau ni anak angkat? Sebagai anak angkat, engkau tak dapat mewarisi harta pusaka bapa kau,' sambung Farhan lagi.

Lutut Fatma terasa lemah sekali. Telefon bimbitnya jatuh ke lantai.

'Makkkk ....!!!!' jerit Fatma. 'Pak Cik Farhan cakap Fatma anak angkat...!! Betul ke?!!!'

ULASAN

Tindakan Farhan adalah suatu tindakan yang tidak bertimbang rasa dan mungkin tidak berperikemanusiaan.

Pertama, dengan mengambil kereta Daud tanpa izin keluarga Allahyarham, Farhan mungkin telah melakukan suatu 'pencurian'. Harta peninggalan si mati tidak boleh diperlakukan dengan sewenang-wenang tanpa surat kuasa mahkamah Grant of Letters of Administration atau Grant of Probate (jika si mati ada wasiat).

Kedua, tindakannya memberitahu kedudukan Fatma sebagai anak angkat melalui telefon adalah suatu yang kurang peka dan mungkin juga tidak berperikemanusiaan. Walaupun benar Fatma seorang anak angkat, sering kali kedudukan sebenar seorang anak angkat itu adalah suatu perkara yang sangat sensitif yang perlu ditangani dengan penuh kepekaan, bukan melalui perbualan di telefon seperti itu.

Ketiga, walaupun kiraan pembahagian faraidnya itu betul, sebelum Farhan bertindak membahagi-bahagikan harta pusaka Daud dengan cara begitu, beliau perlu mendapatkan kuasa mahkamah dahulu. Surat mahkamah Grant of Letters of Administration itulah yang memberi kuasa kepada Farhan, atau mungkin dalam kes ini, kepada kedua-dua Farhan dan Laili, untuk mengurus dan mentadbir harta pusaka Daud sebagai joint administrator atau pengurus bersama. Jika kedua-dua dipilih mahkamah, segala urusan pembahagian harta pusaka perlu diuruskan oleh keduaduanya sekali, bukan atas tindakan seorang individu sahaja.

Beliau juga perlu mengambil kira perkara-perkara yang perlu ditolak daripada harta pusaka tersebut.

Antaranya:

1. Harta-harta Daud yang mungkin sudah dihibahkan. Misalnya rumah joint tenancy, di mana hak milik beliau ke atas rumah tersebut telah dihadiahkan kepada isterinya melalui nuzriah atau hibah ruqba. Harta-harta ini tidak termasuk dalam kiraan harta pusaka.

2. Wang perbelanjaan perubatan dan hospital yang masih belum dijelaskan. Jika perbelanjaan ini diongkosi Laili atau Fatma, mereka boleh menuntut daripada harta pusaka Daud.

3. Perbelanjaan jenazah yang sewajarnya.

4. Hutang-hutang Daud kepada manusia. Segala jenis pinjaman perlu ditolak atau dijelaskan.

5. 'Hutang-hutang' Daud kepada Allah swt, seperti zakat yang belum dijelaskan, fidyah puasa yang ditinggalkan, kafarah nazar atau sumpah yang dilanggar serta perbelanjaan badal haji jika Daud belum menunaikan fardu haji.

6. Wasiat yang dibuat Daud sebelum kematiannya. Mengikut hukum Syariah, seorang Muslim boleh mewasiatkan sehingga sepertiga daripada baki harta pusakanya, selepas ditolak perkara 1 hingga 5 di atas, kepada sesiapa yang bukan waris faraidnya, termasuk anak angkatnya.

Jika ada baki selepas ditolak perkara-perkara di atas, barulah harta pusakanya dibahagikan mengikut pembahagian faraid. Dalam kes ini, kerana Daud sudah tiada ibu bapa dan tiada zuriat, maka pembahagian faraid adalah seperti berikut:

Isteri seperempat, adik lelaki tiga perempat.

Jika Daud tidak meninggalkan wasiat serta tidak membuat perancangan harta pusaka, anak angkatnya tidak akan mewarisi harta pusakanya itu.

Memandangkan kehidupan isteri serta anak angkatnya itu mungkin tergugat akibat sikap tegar adiknya itu, Daud semasa hidupnya harus membuat perancangan ke atas harta pusakanya, sekurang-kurangnya dengan menulis wasiat bagi memberikan sebahagian harta pusakanya itu kepada Fatma.

Di samping itu, beliau juga boleh membuat nuzriah atau hibah ruqba ke atas rumah joint tenancynya itu untuk memberikan hak miliknya kepada Laili, jika beliau meninggal dunia terlebih dahulu. Dengan cara ini, bahagian hak milik Daud ke atas rumah tersebut (50 peratus) tidak menjadi harta pusaka yang perlu dibahagikan mengikut faraid.

Sekurang-kurangnya dengan cara ini, rumah tempat kediaman kedua-dua Laili dan anak angkatnya terjamin dan tidak perlu dijual bagi menepati tuntutan Farhan.

Pembaca boleh merujuk kepada pakar runding perancangan harta pusaka mereka bagi mendapatkan penjelasan terperinci bagi menangani keadaan keluarga masing-masing.

Wallahuaklam.

Nota: Penulis adalah ketua Pegawai Eksekutif Barakah Capital Planners, sebuah syarikat yang memberi khidmat penyediaan wasiat, nuzriah dan hibah serta perancangan dan pembahagian harta pusaka. Beliau boleh dihubungi melalui SMS di talian 9185-2559 atau lungsuri laman www.barakahcapital.com.sg. Syarikat beliau akan juga menganjurkan seminar 'Wasiat, Faraid & Rancang Pusaka' pada Ahad, 20 Februari ini. Untuk pendaftaran, hubungi 6842-2282.


http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,181691,00.html?

No comments: