Tuesday, February 1, 2011

Kebenaran perih dalam sejarah (BH, 02.02.11)

Oleh M. Effendy A. Hamid

TENGKARAH yang tercetus daripada buku Hard Truths To Keep Singapore Going mengenai bab tanggapan Menteri Pembimbing (MM) Lee Kuan Yew mengenai umat Islam, tampaknya mulai reda.

Hal ini berlaku selepas Perdana Menteri Lee Hsien Loong (anak MM Lee) menjelaskan bahawa tanggapan itu bersifat peribadi, bukan pendirian pemerintah.

Pun sesetengah pihak masih berasa kecewa terhadap luahan fikir dan rasa mantan perdana menteri yang dianggap 'Bapa Pembangunan Singapura Moden' itu. Apa pun, ia tetap berupa tanggapan yang memang menghiris rasa peka kaum dan agama di negara majmuk seperti kita.

Adegan atau episod ini mengingatkan saya pada idea 'provokasi' (membangkitkan kemarahan) yang sering digunakan sebagai strategi dalam konflik seperti peperangan.

Umumnya, manusia yang suka damai bersikap 'bela diri'. Jadi, dalam seni bela diri, perlu difahami prinsip provokasi iaitu membuat musuh jatuh ke dalam 'perangkapnya sendiri'. Tetapi untuk menggunakan strategi tersebut, suatu kefahaman tentang niat pihak yang dihadapi amat diperlukan.

Seni bela diri lazimnya mementingkan aspek kawalan emosi diri sendiri untuk mencegah seseorang itu daripada membuat 'serangan bodoh berdasarkan emosi' yang boleh mengakibatkan kekalahan.

Cara terbaik menghadapi idea atau berita yang boleh membangkitkan kemarahan ialah dengan ilmu dan kawalan emosi.

Pertama, dengan ilmu, kita boleh menghadapi pendapat dengan mengajukan fakta lawan (counter facts). Cara ini membolehkan fakta yang disajikan dikupas secara dialektik (melawan hujah) demi menghasilkan fahaman atau kesedaran baru.

Atau kita boleh mengabaikannya dan menanggapi pendapat tersebut sebagai renungan semata-mata. Ertinya, rumusan seseorang yang berpengaruh itu dinilai sebagai asam garam atau rumusan pengalamannya selama bertahun-tahun.

Isu 'integrasi' dan perlunya orang Islam melonggarkan prinsipnya yang diketengahkan MM Lee itu boleh dibincangkan dalam forum. Malah MM Lee wajar diundang, jika sudi, untuk mengupasnya.

Dengan ini, anak muda Melayu Singapura boleh mengutarakan soalan kritikal demi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai masyarakatnya berdasarkan perspektif MM Lee. Saya pasti sebagai pewaris masyarakat, anak muda kita sangat bimbang tentang masa depan kaumnya.

Apabila ada forum, diharap kebenaran perih dapat dikupas dan dijelaskan.

Sekian lama, badan-badan Islam telah mencuba sedaya upaya untuk meningkatkan taraf sosial, ekonomi dan pendidikan masyarakat di Singapura.

Cabaran terbesar ialah melengkapkan masyarakat Islam dengan pelbagai ilmu dan kebolehan agar lebih berjaya dan menyesuaikan diri dengan kehadiran bakat asing yang dilaporkan lebih berkelayakan tinggi.

Bagi saya, kunci kejayaan umat ialah pada ilmu dan akhlak. Dari segi ilmu, lebih banyak lagi mahasiswa yang mahu meneruskan pelajaran tinggi ke tahap sarjana dan doktor falsafah hendaklah dilakukan dengan segera. Sekalipun bilangan Melayu/Muslim kian kecil berbanding dengan bakat asing, yang menjadi pembeza ialah sumbangan ilmu dan baktinya.

Setelah dibukukan, pandangan MM Lee akan menjadi pencabar atau provokasi dalam sejarah. Jadi, apakah langkah selanjutnya?

Pertama-tama, menyanggah pendapatnya dengan bukti bahawa masyarakat Melayu telah dan akan terus maju dari segi jaya diri dan integrasi dalam masyarakat Singapura.

Pun kita juga tidak boleh menafikan fakta bahawa ada masalah dalam masyarakat yang masih merantai sejak dulu lagi dan perlu sangat diselesaikan.

Masalah perceraian, keluarga pincang, penagihan dadah dan sebagainya merupakan masalah integrasi yang sebenar sedang seluruh rakyat Singapura terus maju.

Selanjutnya, kita perlu benar-benar memahami sifat nilai-nilai kukuh masyarakat Melayu Singapura. Untuk itu, kita perlu kaji aspirasi dan tanggapan masyarakat kita dari segi pendidikan, kewangan, penjagaan keluarga dan apa yang mereka fahami dengan erti 'kemajuan', 'pembangunan' dan sebagainya.

Mengkaji sikap dan mentaliti masyarakat amat utama dalam merubahnya untuk terus maju. Kita perlu kenal pasti faktor-faktor yang menghalang kita daripada berjaya seperti orang lain - diskriminasi, kurang kewangan atau jalinan (networking) dan sebagainya.

Itulah sebabnya memahami sejarah amat penting dalam meneliti isuisu masyarakat kita.

Saya telah menyoroti kesinambungan masyarakat Melayu dari segi sikap berbelanja, pendidikan dan sebagainya. Masih banyak nilai masyarakat kita yang tidak berubah sehingga menyukarkan kita berintegrasi dengan masyarakat lain.

Namun, pada masa yang sama, saya juga menemukan banyak contoh kesinambungan sejarah orang Melayu yang mementingkan pengetahuan, daripada menghantar anakanak ke kelas agama di kampung pada abad ke-19, kepada ilham dan kemahuan mencari pengetahuan dalam abad ke-21.

Saya menemui bukti sejarah bahawa orang Melayu di Singapura menghadapi cabaran kuat berbanding masyarakat Cina dan lain-lain sejak pembukaan Singapura sebagai tanah jajahan British.

Bukti daripada laporan penjajahan Inggeris menunjukkan bahawa kegigihan usahawan Cina membina permodalan berlaku sejak abad ke-19. Hal inilah yang mengukuhkan kemajuan ekonomi masyarakat Cina sehingga kini. Ia hampir tidak berlaku dalam masyarakat Islam kita sehingga sukar kita berintegrasi dalam urusan perdagangan dengan kaum-kaum lain.

Kita sudah menerima kebenaran perih bahawa orang Melayu terpinggir dalam suasana ekonomi penjajahan British. Ekonomi merupakan asas dan tunjangan perpaduan. Jangan sekali-kali kita terpinggir lagi.

http://cyberita.asia1.com.sg/mkomentar/story/0,6879,181256,00.html?

No comments: