LEBIH SELESA DAN NYAMAN: Tiga kipas angin raksasa buatan Australia ini telah pun dipasang sepenuhnya di ruang solat Masjid Sultan, setiap satu seberat 300 kilogram dan berharga $22,000 sebuah termasuk bayaran pemasangan. -- Foto JOHARI RAHMAT Oleh Saini Salleh CUACA di luar begitu berbahang dek terik pancaran matahari tetapi nyaman dan berangin apabila melangkahkan kaki ke ruang solat Masjid Sultan.
Suasana nyaman itu kini dinikmati para jemaah ekoran selesainya pemasangan tiga kipas angin raksasa di ruang solat masjid berusia 83 tahun itu secara berperingkat-peringkat dua bulan lalu.
'Macam kipas kapal terbang, anginnya kuat dan nyaman.
'Bukan mudah nak pasang sebab kipas-kipas angin ini bukan saja berat malah saiznya besar,' kata seorang jemaah, Haji Salim, 48 tahun, dari Jakarta, Indonesia, yang tercegat melihat ketiga-tiga kipas angin di siling masjid tersebut.
Peniaga yang berada di sini kerana menemui rakannya menyatakan beliau tidak pernah lihat kipas angin sebesar itu di masjid-masjid di negaranya atau di negara lain.
Pengurus Masjid Sultan, Ustaz Muhamed Khair Rahmat, mengesahkan pihaknya mula memasang kipas pertama pada Hari Raya Aidiladha lalu.
'Mulanya kami agak bimbang juga selepas memasang kipas pertama tetapi jemaah rata-rata memberi maklum balas positif. Malah, ada jemaah khususnya warga tua, mengadu kesejukan.
'Kami kemudian merancang memasang dua lagi kipas yang sama dan alhamdulillah, dua jemaah, pesara warga Singapura, masing-masing tampil menaja pemasangan kekedua kipas itu secara berasingan,' tambah Ustaz Khair.
Setiap kipas buatan Australia itu berharga $18,000 dan kos memasang termasuk khidmat konsultan kejuruteraan pula adalah $4,000.
Seberat 300 kilogram setiap satu, pemasangan kipas angin itu diperkukuh dengan ikatan kabel bagi memastikan ia tidak bergoyang dan selamat digunakan.
Menurut Ustaz Khair lagi, seorang peniaga Malaysia telah melahirkan minat menaja baki sebuah lagi kipas angin.
Beliau percaya Masjid Sultan adalah yang pertama di kalangan masjid di sini yang memasang kipas sebesar itu.
Mengenai keperluan memasang kipas-kipas raksasa itu, Ustaz Khair menyatakan pihaknya memang merancang menukar kipas-kipas angin lama yang bergoyang dan pihak masjid was was dari segi keselamatan jika terus menggunakannya.
'Dua tahun lalu kami diperkenalkan kepada kipas besar ini tetapi tidak meneruskan pemasangannya kerana bunyinya yang kurang menyenangkan.
'Tetapi, pihak pembekal membawa sejenis lagi kipas yang tidak berbunyi dan bebas daripada penyenggaraan. Lantas kami membuat keputusan memasangnya,' tambah beliau sambil menyatakan kipas raksasa itu menjimatkan kerana kuasa elektrik yang digunakan sama dengan empat kipas biasa.
No comments:
Post a Comment