Sunday, March 27, 2011

Manfaatkan golongan muda Melayu (BH, 26.03.11)


Oleh Adli Yashir Kuchit

DI KALANGAN penduduk Melayu Singapura, peratusan penduduk mudanya adalah lebih tinggi daripada kaum lain dan perangkaan banci terbaru menunjukkan peratusannya masih tinggi.

Mengamati trend tersebut, Yayasan Mendaki melihat akan potensi besar dan positif generasi masa depan masyarakat dan kini mengajak masyarakat agar sama-sama menggilap dan memanfaatkan sumber penting tersebut.

Dalam hal ini, badan bantu diri itu menyatakan bahawa ia sedang menggiatkan lagi usaha mempertingkatkan program-programnya bagi memupuk potensi belia Melayu demi melengkapkan program-program sedia ada.

Ini dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mendaki, Cik Moliah Hashim, dalam satu wawancara dengan Berita Harian, berhubung antara tumpuan utama badan bantu diri itu dalam usahanya membantu mempertingkatkan masyarakat.

'Kami ingin seramai mungkin golongan muda berkongsi pandangan bagaimana mereka melihat diri mereka dapat menjadi penyumbang dan merealisasikan cita-cita mereka, sekali gus menjadi harapan bangsa,' kata beliau.

Penyelidikan Mendaki terhadap banci terbaru mendapati 54 peratus penduduk Melayu di negara ini berusia 34 tahun dan ke bawah.

Mereka yang berusia antara 10 tahun dengan 34 tahun membentuk 34 peratus.

Penduduk Melayu juga lebih 'muda' berbanding kaum lain.

Purata usia penduduk Melayu di sini ialah 31.4 tahun berbanding 38.9 tahun bagi penduduk Cina dan 33.4 tahun bagi penduduk India.

Sebagai antara langkah berterusan, Cik Moliah berkata satu forum yang bakal diadakan pertengahan bulan depan, yayasan itu ingin menarik maklum balas daripada golongan muda mengenai kesan Banci Penduduk 2010.

Seramai 150 pelajar maktab rendah akan diundang menyertai forum tersebut.

Secara jangka panjang, Mendaki telah mengatur program-program pembangunan, pendidikan dan bimbingan.

Antara lain Mendaki telah menganjurkan kempen kesedaran seksualiti dan kehamilan, dikenali dengan nama 'Lebih Seksi Katakan Tidak'.

Turut diadakan ialah program mentor Youth in Action dan program kembali ke sekolah Max Out.

Selanjutnya badan bantu diri itu memberi penekanan kepada pembangunan potensi golongan belia.

'Kami telah menerapkan konsep Pembangunan Belia Positif (PYD) yang menekankan peri pentingnya proses pembangunan potensi dan kekuatan golongan muda,' kata Cik Moliah.

Sebagai contoh, konsep PYD itu diterapkan menerusi program perintis seperti 'Program Memperkasakan Remaja Perempuan'.

Awal tahun ini, sebuah program pendekatan turut diperkenalkan bagi remaja lelaki. Memandang ke hadapan, selain forum bagi pelajar maktab rendah pada bulan depan, Mendaki sebagai sekretariat Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) akan mengadakan bengkel sastera sebagai lanjutan program 'Rumah Kita' yang diadakan tahun lalu.

'Jabatan Sukarelawan Mendaki juga kini sedang dalam perancangan untuk menarik lebih ramai golongan muda menyertai Mendaki dan menyumbang tenaga sebagai relawan,' tambah Cik Moliah.


No comments: