Tuesday, May 24, 2011

GANJARAN INSAF DAN USAHA: Encik Rasman (kiri) dan Encik Ismail dapat meninggalkan dadah dan jenayah. Kini mereka membuka sebuah pusat pendidikan Islam dan berusaha menambah ilmu agama. -- Foto JOHARI RAHMAT

Oleh
Saini Salleh

ENCIK Ismail Abdullah sudah 15 kali keluar masuk pusat pemulihan dadah (DRC) dan pernah dirotan kerana sudah melangkaui kategori penagih degil. Beliau juga pernah dua kali meringkuk dalam penjara kerana kesalahan mencuri dan menipu.

Encik Rasman Saridin pula sudah lima kali keluar masuk DRC dan dua kali meringkuk dalam penjara kerana mencuri untuk membeli dadah.

Berdasarkan rekod itu, pintu harapan untuk mereka kembali ke pangkal jalan biasanya diselubungi awan mendung.

Tetapi, Encik Ismail, 54 tahun, dan Encik Rasman, 45 tahun, membuktikan kesemua rekod itu hanya kesilapan masa lalu dan mereka telah merubah hidup mereka sepenuhnya.

Berkat semangat mengejar ilmu, kededuanya kini bergelar ustaz di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) kelolaan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Mereka juga mengambil langkah lebih berani dengan membuka pusat pendidikan, Hira Education and Social Services, yang bermula di Jurong East pada lewat tahun lepas sebelum berpindah ke Yishun Februari lalu.

Namun, anjakan daripada label 'penagih degil' kepada gelaran 'ustaz' itu tidak datang bergolek ibarat kata pepatah jika tidak dipecah ruyung di mana boleh mendapat sagu.

Menyingkap liku-liku kehidupannya, Encik Ismail berkata beliau bergelumang dalam kancah dadah sekitar 30 tahun - dari 1977 hingga 2005.

'Saya dah keluar masuk DRC 15 kali. Kali terakhir saya dimasukkan penjara selama enam tahun di bawah hukuman tahanan jangka panjang bagi penagih degil. Saya juga dirotan tiga kali.

'Tetapi tahanan di penjara dan dirotan serta umur yang semakin senja menimbulkan keinsafan sampai bila saya harus hidup begini. Sebut saja apa jenis dadah, heroin, ganja, macam-macam pil dan morfin semua saya dah cuba.

'Sebelum keluar penjara pada 2005, saya buat keputusan akan cuci tangan. Alhamdulillah, mungkin berkat saya sentiasa mohon petunjuk dan hidayah daripada Allah, saya jadi begini sekarang,' kata Encik Ismail.

Selepas dibebaskan beliau belajar AlQuran di Masjid Siglap dan bahasa Arab dan kemudian mengikuti kursus diploma pendidikan Islam anjuran Kolej Islam Muhammadiyah (KIM).

Ketika menuntut di KIM pada 2008 beliau bertemu rakan sepenagihnya, Encik Rasman, yang menjadi pengarah kolej itu, dan tercetus idea berkongsi menubuhkan sebuah pusat pendidikan Islam.

Encik Rasman meninggalkan tanah air untuk belajar bahasa Arab di Jakarta pada 1996. Beliau kemudian mengikuti kursus diploma pendidikan Islam selama dua tahun anjuran Lembaga Pendidikan Dakwah Islam Indonesia.

Atas kesedaran ingin menambah ilmu, beliau mengikuti kursus sarjana muda Pendidikan Islam di Universiti Muhammadiyah Malang dari 2000 hingga 2005.

Hujung bulan ini, Encik Rasman akan melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang pendidikan Islam selama dua tahun di universiti itu.

Ditanya mengenai sejarah hitam mereka, kededuanya berkata tiada apa yang hendak dimalukan kerana ilmu yang tersemat di dada dapat mengikis stigma itu dengan sendirinya.

Bagi penagih yang ingin kembali ke pangkal kalan, Encik Ismail menasihatkan: 'Mereka mesti ada keinsafan, kesabaran, kesungguhan untuk berubah, tambah ilmu pengetahuan, khususnya dalam agama, dan laksanakan apa yang kita cita-citakan.

'Kalau jumpa kawan hulur dadah, kita harus belah dalam masa tiga minit. Kalau tidak, kemungkinan besar kita kembali menagih.'

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,189377,00.html?


No comments: