Tuesday, May 24, 2011

Dua kumpulan seni Melayu diberi ruang di pusat seni (BH, 24.05.11)

RUMAH BARU: Pusat Seni Goodman (GAC), di Goodman Road, dekat Mountbatten Road yang dahulunya merupakan kampus LaSalle kini menempatkan pejabat dan studio seni. -- Foto LASALLE

Oleh
Shamsul Jangarodin

DUA kumpulan seni Melayu yang tidak pernah mempunyai markas sendiri bagi menjalankan aktiviti mereka diberikan ruang tetap untuk menjalankan kegiatan mereka dengan lebih sempurna.

Pertubuhan persuratan Melayu, Angkatan Sasterawan '50 (Asas '50) dan Era Dance Theatre Ltd, masing-masing berjaya mendapatkan pejabat dan studio di Pusat Seni Goodman (GAC), di Goodman Road, dekat Mountbatten Road.

Dua artis visual Melayu, Encik Mohamed Kamal Dollah dan Encik Ryf Zaini, juga ditawarkan tempat di GAC.

Kumpulan seni dan individu Melayu itu difahamkan antara 52 permohonan yang berjaya mendapat tempat di GAC di bawah Skim Perumahan Seni Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

Skim itu menawarkan geran sebanyak 80 peratus daripada harga sewa tempat dan tempoh sewa selama tiga tahun boleh dilanjutkan kepada tempoh maksimum sembilan tahun.

Ini bermakna beberapa kumpulan seni Melayu di Telok Ayer Performing Arts Centre (Tapac) seperti Teater Ekamatra, Sriwana, Persatuan Kemuning and Teater Artistik, perlu membuat rancangan lain bagi mendapatkan lokasi baru apabila tempoh sewa hab seni tersebut berakhir pada 2014.

Dalam jawapan e-melnya, jurucakap NAC berkata pihaknya menerima tiga kali ganda permohonan bagi 52 unit yang ditawarkan di GAC.

Mengenai mereka yang gagal mendapatkan tempat di GAC, jurucakap NAC itu berkata badan tersebut sedang menyemak ruang-ruang seni yang disediakan kepada kumpulan-kumpulan seni, termasuk mereka yang berada di Tapac.

'Semakan itu akan melibatkan rundingan dengan semua pihak yang terlibat,' kata jurucakap NAC itu.

Ketika dihubungi, pegawai eksekutif Asas '50, Encik Hamzan Saad, berkata pihaknya menyifatkan tawaran pejabat itu sebagai satu pencapaian baik.

Menurutnya, lokasi pejabat di bekas bangunan Sekolah Menengah Tun Sri Lanang itu juga membawa kembali nostalgia bagi ramai anggota Asas '50 yang pernah menjadi guru di sekolah yang telah dibubarkan itu.

Antara anggota Asas '50 yang pernah mengajar di situ ialah Cikgu Mohamed Latiff Mohamed.

'Sejak ditubuhkan pada 1950, kami tidak pernah mempunyai pejabat. Mesyuarat bulanan kami adakan di balai-balai rakyat atau di rumah anggota kami,' kata Encik Hamzan yang difahamkan sudah pun mengambil kunci pejabat daripada NAC.

Ruang pejabatnya seluas 73.5 meter persegi atau sebesar sebuah flat tiga bilik.

Encik Hamzan berkata Asas '50 akan menubuhkan sebuah Pusat Sumber bagi menempatkan khazanah persuratan pertubuhan itu - yang bertarikh dari 1950 hingga ke kini - 'yang kini disimpan di merata-rata oleh anggota Asas '50'.

Pengarah Eksekutif Era Dance Theatre Ltd, Encik Azrin Abdul Rahim, pula berkata dengan adanya studio seluas 202.5 meter persegi itu, pihaknya akan lebih bersemangat untuk membangunkan dan mengembangkan seni tari Melayu.

'Dahulu mesyuarat Era Dance Theatre sering diadakan di warung-warung kopi. Latihan pula diadakan di dewan-dewan yang disewa.

'Namun begitu, kami masih berjaya menganjurkan sebuah acara gah, Festival Zapin D' Muara, yang menarik kira-kira 6,000 penonton tahun lalu,' kata Encik Azrin.

Era Dance Theatre Ltd ditubuhkan secara rasmi pada 2009.

http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,189332,00.html?


No comments: