Friday, November 5, 2010

Kesusasteraan membina kemanusian (BH, 05.11.10)

Dr Ariff harap Asas '50 dapat terus hidup sekalipun beliau sudah tiada

Persatuan Angkatan Sasterawan '50 menyambut ulang tahunnya yang ke-60 pada 6 Ogos lalu. Sempena majlis sambutan malam ini tiga anugerah utama akan disampaikan kepada aktivis tegar persatuan itu. Nadzri Eunos (nadzri@sph.com.sg) menemu ramah penerima anugerah tersebut mengenai pengalaman mereka memartabatkan kesusasteraan Melayu di Singapura.

TIADA manusia yang mampu menilik apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Apatah lagi ahli kesusasteraan Melayu yang satu ketika dulu pernah dituduh sebagai ahli nujum.

Namun, setiap insan mampu berharap.

Begitu jugalah Pendeta, Dr Muhammad Ariff Ahmad, atau dikenali dengan nama penanya, Mas.

Sejak pertama kali 19 pemuda berkumpul di rumah bujangnya di Henderson Road pada 1950 dan bertekad untuk menubuhkan sebuah persatuan yang akan memartabatkan kesusasteraan Melayu di bumi Temasek, beliau menyimpan harapan - agar pertubuhan Angkatan Sasterawan '50 (Asas '50) yang baru dilahirkan - akan panjang umur dalam perjuangannya menggunakan sastera untuk membina manusia.
Ternyata 60 tahun kemudian, harapan yang ditanam itu bukan sahaja bertunas, malah kini subur dan mekar berbunga.

Sayangnya, daripada 19 yang menghadiri pertemuan pertama untuk melahirkan Asas 50, hanya seorang sahaja yang diizinkan melihatnya menyambut ulang tahun yang ke-60.

'Saya rasa seperti budak hitam yang ke-10 kerana saya satu-satunya pengasas yang tinggal,' kata Budayawan Negara, Dr Ariff, selamba tertawa, merujuk kepada lagu kanak-kanak 10 Budak Hitam.

Menyelongkar lembaran sejarah, Dr Ariff menceritakan secara ringkas antara pencetus penubuhan Asas 50 ialah ketandusan wadah bagi para penulis ketika itu.

'Ketika itu saya anggota Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS). Saya minta diberi ruang untuk mengumpulkan para penulis, tetapi isu yang hangat pada waktu itu ialah membela nasib guru-guru Melayu agar setaraf dengan guru-guru mata pelajaran lain dari segi gaji dan layanan,' jelas Dr Ariff yang bakal menyambut hari lahirnya yang ke-86 pada 6 Disember ini.

Katanya pada waktu itu tiada persatuan yang memperjuangkan nasib para penulis.

'Dulu apabila kami sumbang karya ke surat khabar kami tidak dapat apa-apa bayaran. Kalau karya diterbitkan besar hati kami, tapi kalau karya dibuang habislah pelaburan kami beli dakwat dan kertas.

'Selepas Asas 50 ditubuhkan saya dipanggil ketua Utusan Melayu ketika itu, Encik Yusof Ishak, pada 21 Januari 1951. Beliau beritahu para penerbit bahawa fikiran penulis amat berharga.

'Saya kemudian diberi 5 ringgit untuk penulisan saya yang menyangkal dakwaan bahawa sasterawan adalah ahli nujum,' kata Dr Ariff mempamerkan daya ingatannya yang masih tajam.

Selepas itu, katanya, para penulis yang menyumbangkan karya mendapat bayaran. Demikian antara kisah-kisah yang mewarnai tahun-tahun awal Asas '50 yang dikongsi Dr Ariff sepanjang temu bual selama sekitar sejam.

Terpancar kebanggaannya terhadap pencapaian persatuan itu sepanjang enam dekad.

Asas '50, katanya, kini mampu menerbitkan buku kerana adanya sokongan kewangan; meluaskan kegiatannya kepada pihak-pihak yang sealiran, juga para pelajar dan telah memeterai perjanjian persefahaman (MOU) dengan badan-badan luar negara dalam usaha memperjuangkan kesusasteraan Melayu baik di persada negara mahupun dunia.

Beliau akur strategi yang digunakan Asas '50 dalam usaha memenuhi slogan 'Sastera Bina Manusia' telah berubah dari masa ke masa.

'Dalam erti kata lain, kesusasteraan adalah pembina kemanusiaan... Teknik dan taktik boleh berubah bergantung kepada tiga perkara - penganut, tempat dan zaman - tetapi terasnya tetap sama,' tegas Dr Ariff.

Justeru baginya, kaedah dwibahasa yang kini digunakan Asas '50 untuk memasyarakatkan kesusasteraan Melayu di Singapura adalah tepat pada masanya.

'Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa maklumat, tetapi karya tetap dalam bahasa Melayu,' katanya lagi.

Pendekatan tersebut telah membantu memperkenalkan Asas '50 kepada golongan bukan Melayu sekali gus membuka pintu kepada sokongan dan pengiktirafan di peringkat nasional.

Namun, Dr Ariff menekankan perlu adanya 'penghulu' teguh yang mampu memastikan perjuangan asas tidak dilencongkan.

'Kita patut ada pengawal mutu!' seloroh Dr Ariff.

Dalam hal ini beliau yakin golongan pemimpin pelapis Asas '50 mampu melaksanakannya.

Doa beliau, agar Asas '50 terus berjuang lama selepas 'budak hitam' yang tinggal satu ini berpulang.

http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,175820-1288994340,00.html?

No comments: