SEKUMPULAN kanak-kanak ini dilihat membahayakan diri mereka dengan meniru aksi yang dipamerkan menerusi permainan yang dikenali sebagai 'Parkour'.
Berusia antara lapan dengan 10 tahun, kanak-kanak ini asyik memanjat tembok di tingkat dua sebelum terjun ke bawah sebuah blok flat di Hougang Avenue 5.
Perbuatan mereka itu disaksikan sekumpulan rakan sebaya yang lain.
Tanpa menghiraukan keselamatan, mereka bergilir-gilir memanjat tembok di ruang tangga antara tingkat satu dengan dua blok berkenaan dan setelah puas hati tiada sesiapa melihat, mereka akan mula 'beraksi' - dengan terjun ke tingkat bawah.
Jeritan jurugambar Berita Harian yang kebetulan melalui kawasan itu bagaimanapun tidak didengar kerana jaraknya yang agak jauh.
Melihat mereka 'beraksi' boleh membuat hati berdegup kencang, lebih-lebih lagi apabila seorang daripada mereka cuba turun daripada parapet tingkat dua yang tingginya lebih kurang 10 meter, lalu terjun ke bawah flat itu (Lihat gambar-gambar urutan).
Permainan 'Parkour' lebih merupakan satu kegiatan jasmani yang digemari anak muda.
'Parkour' menguji kemampuan dan kebolehan seseorang dalam mengatasi sesuatu halangan dengan melakukan lompatan, memanjat, berayun atau bergolek.
Bagaimanapun kemampuan seseorang melakukan 'Parkour' dengan baik memerlukan bimbingan profesional.
Tanpa tunjuk ajar daripada orang yang bertauliah, apa yang dilakukan anak-anak ini hanya mengundang bahaya.
Malang tidak berbau, andai tersilap langkah mereka akan tercedera termasuk rakan yang tunggu di bawah blok flat.
http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,189993,00.html?
No comments:
Post a Comment