Tuesday, April 5, 2011

Saktiandi dilantik ahli lembaga Spring S'pore (06.04.11)

ENCIK SAKTIANDI: Harap pengalamannya dapat bantu Spring Singapore.


SEORANG pegawai kanan bank, Encik Saktiandi Supaat, merupakan antara empat anggota baru yang dilantik menganggotai lembaga Spring Singapore, menurut satu kenyataan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) semalam.

Encik Saktiandi, 37 tahun, merupakan Ketua, Kajian Forex, Pasaran Jagat di Maybank.

Sebelum ini beliau pernah bekerja sebagai Pakar Ekonomi Perbendaharaan Kanan di UOB dan Ketua Pakar Ekonomi di Divisyen Analisis Permodalan dan Ekonomi di Jabatan Dasar Ekonomi, Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Beliau juga merupakan anggota panel penyeliaan saluran maklum balas pemerintah, Reach; presiden sayap belia Angkatan Karyawan Islam, AMP Muda, dan anggota Rangkaian Daya Kerja Forum Pemimpin Masyarakat (CLF).

Menurut Encik Saktiandi, beliau berharap pengalamannya dalam sektor swasta dan penglibatannya dalam kerjakerja kemasyarakatan dapat membantunya memainkan peranan sebagai anggota lembaga Spring Singapore dengan berkesan.

'Ia merupakan satu penghormatan untuk dilantik dan saya harap dapat berkongsi perspektif yang berbeza dengan anggota lembaga yang lain,' ujarnya.

Tiga lagi anggota baru yang dilantik bagi penggal dua tahun itu ialah Encik Leslie Loh, Rakan Kongsi Umum, Extream Ventures Pte Ltd; Encik Wong Toon King; Pengerusi dan Perintis, Z Group; dan Encik Mike Booker, Ketua, Produk Pengguna dan Jualan, Bain & Company SE Asia, Inc.

Sementara itu, Encik Philip Yeo kekal menjadi Presiden Spring Singapore bagi penggal ketiga.

Menurut MTI, di bawah kepimpinan Encik Yeo, Spring Singapore akan terus berusaha meningkatkan daya penghasilan dan inovasi syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME).


No comments: