Thursday, January 27, 2011

Mencari dinamisme guru Melayu (BH, 28.01.11)

Oleh Maarof Salleh

AWAL minggu ini saya mengunjungi Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI, (dulunya dikenali sebagai Maktab Perguruan Sultan Idris, MPSI), menemani rakan guru (bekas pelatih) dari institusi itu.

Seperti kebanyakan graduan MPSI, rakan saya itu dicengkam rindu mengenai latihan keguruannya. Ternyata beliau begitu teruja ketika kenderaan kami masuk ke pekarangan kampus di Tanjung Malim itu - bukan sangat pada ciri fizikalnya tetapi warisannya dalam membangun sumber insan.

Saya memahami emosinya. Walaupun tidak pernah menjadi siswa di situ, saya banyak mempelajari mengenai MPSI ketika belajar sejarah pembangunan nasionalisme di Malaya (kini Malaysia) dan Singapura yang dijajah British.

MPSI melahirkan ramai graduan berperanan elit dalam bidang pendidikan Melayu. Golongan ini gigih menyumbang dalam perjuangan bangsa Melayu termasuk dalam gerakan memperoleh kemerdekaan negara.

Selepas merdeka, banyak pula yang terus berkecimpung dalam usaha mengisi erti kemerdekaan - aktif dalam peranan kepimpinan dalam pelbagai bidang lain.

Ketika itu mereka yang diterima masuk ke MPSI datang daripada latar belakang keluarga masyarakat biasa - bukan daripada golongan bangsawan Melayu. Kemasukan ke institusi pengajian tinggi itu tentulah dirasakan sebagai satu keistimewaan.

Perubahan status daripada kedudukan sebagai anak petani, anak nelayan dan anak peon (pembantu pejabat) menjadi guru yang dihormati dan elit masyarakat - menjadi pencetus semangat untuk sebahagian besar graduan institusi itu terlibat dalam pergerakan nasionalisme. Sebahagiannya berjaya memahat nama terbilang sebagai pendidik, tokoh bahasa, penulis mapan sehinggalah penyandang jawatan penting dalam kerajaan.

Sebelum merdeka, Singapura belum mempunyai pusat latihan perguruan. Banyak guru dari Singapura dihantar ke MPSI.

Selepas tamat kursus MPSI, mereka kembali ke Singapura menjadi antara guru yang dikenali ramai. Mereka kekal memberi khidmat selepas Singapura mencapai taraf berpemerintahan sendiri dan seterusnya selepas mencapai kemerdekaan.

Antara mereka yang berjaya mengharum dalam bidang keguruan atau pendidikan serta aktif dalam bidang bahasa dan sastera, kemasyarakatan dan politik ialah Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad, sasterawan Suratman Markasan dan mantan menteri negara kanan, Sidek Saniff. Sumbangan mereka dalam arena pembangunan masyarakat Melayu di sini merupakan bukti kepada warisan hebat MPSI.

Di Malaysia, bilangan tokoh seperti ini lebih banyak lagi termasuk yang masih berkhidmat atau sudah bersara seperti Yang Dipertuan Negeri Pulau Pinang, Dr Abdul Rahman Abbas, sasterawan Kemala dan tokoh pendidikan Profesor Emeritus Awang Had Salleh, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Abdul Ghaffar Baba (almarhum), dan mantan speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Onn Ismail.

Maklumat daripada pembacaan saya bak diperkuat apabila mendengar pengakuan langsung daripada beberapa tenaga pengajar UPSI dan para penulis mapan, graduan institusi itu sempena kunjungan itu. Mereka mengesahkan kesinambungan khidmat yang diberikan banyak graduan MPSI dalam pelbagai bidang, baik secara persendirian atau sebagai aktivis dan peneraju beberapa kumpulan.

Kebetulan antara mereka itu termasuk beberapa penulis mapan yang sehari sebelum kedatangan kami telah menganjurkan diskusi panel yang membahaskan isu tuntutan masyarakat India yang menolak novel Interlok sebagai buku teks sastera bagi tingkatan lima.

Novel itu karya Sasterawan Negara, Abdullah Hussein, yang sebenarnya sudah lama diterbitkan. Ia tiba-tiba saja mendapat kritikan sebahagian masyarakat India kerana adanya kekata 'pariah' yang didakwa berbau perkauman dan menghina masyarakat India.

Perbualan singkat itu mengesankan saya betapa terdapat semangat dan dinamisme Melayu yang kuat dalam kalangan elit Melayu MPSI yang masih menghormati kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia.

Saya sempat menghadiri majlis mengulas buku Idealisme dan Pemikiran Tun Abdul Razak bentangan penyusunnya, Yaakub Isa, seorang lagi graduan MPSI dan kini sejarawan di Muzium Negeri di Pahang. Sekali lagi saya mendapat kesan yang sama.

Contohnya, pemilihan buku itu sendiri dianggap satu usaha untuk menginsafkan siswa institusi itu tentang idealisme pemimpin Melayu seperti Tun Abdul Razak yang dianggap sebagai 'Bapa Pembangunan Malaysia'. Koleksi ucapan dan tukilan orang-orang yang rapat dengan Perdana Menteri Kedua Malaysia itu memberi fokus betapa pemimpin Melayu sepertinya akrab dengan rakyat serta prihatin dalam usaha membawa rakyat, khususnya orang Melayu, ke tahap kehidupan yang lebih maju dan bahagia.

Jelaslah umumnya para graduan MPSI mengongsi rasa kecintaan yang kuat kepada bangsa dan tanah air serta bersemangat memberikan khidmat kepada masyarakat. Inilah dinamisme yang memungkinkan banyak guru Melayu pada suatu ketika dahulu berada di barisan hadapan dalam perjuangan bangsa.

Apakah dinamisme guru Melayu yang demikian itu masih dapat dikekalkan? Begitulah pertanyaan saya kepada Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Aminah Ayob ketika bersantai dalam jamuan yang diberikannya kepada kami.

Jawapannya agak menarik.

Menurutnya, walaupun hasrat mengekal dan membangunkan dinamisme itu masih ada, perubahan suasana dan landskap politik lepas merdeka tidak memungkinkan institusi seperti UPSI (dulu MPSI) mampu memainkan peranan lamanya. Institusi itu bukan lagi khusus untuk orang Melayu, tetapi terbuka kepada kaum-kaum lain.

Juga, sesuai dengan keperluan sebuah negara yang merdeka, peranan UPSI kini lebih tertumpu pada membekalkan tenaga pengajar yang terlatih dalam pelbagai bidang keterampilan untuk keperluaan sekolah di seluruh Malaysia.

Apakah peranan dinamis guru tidak lagi menjadi keutamaan?

Dr Aminah yakin dinamisme guru Melayu masa kini masih perlu dikekalkan bagi memastikan apa yang menjadi cita-cita kemerdekaan dapat terus dibangunkan dan dicapai. Beliau komited untuk melihat para guru UPSI berperanan penting membangunkan idealisme yang betul dan murni dalam mengisi makna kemerdekaan bangsa dan negara, kemudian menyebarkannya kepada anak didik mereka.

Bagaimanapun, hematnya, semua itu banyak bergantung pada sikap dan kesungguhan guru UPSI. Jika mereka serius mahu menyaksikan satu transformasi cemerlang benar-benar berlaku dalam masyarakat, mereka sendiri harus serius melengkapkan diri masing-masing dengan sikap, nilai dan keterampilan yang diperlukan bagi melaksanakan tugas dan amanah sebagai guru.

Katanya, keadaan kini tidak sama dengan zaman negara di bawah penjajahan. Kini, dorongan untuk maju kerana mahu kebebasan daripada penjajahan bukan lagi satu faktor pendorong. Sebaliknya kini dorongan itu harus datang daripada kesedaran diri untuk melaksanakan tugas dengan jujur, amanah dan bertanggungjawab.

Malangnya, beliau mengeluh, semangat dan dinamisme seperti itu kurang menjadi ciri utama guru-guru sekarang. Mungkin dek keinginan untuk cepat meraih hasil daripada pekerjaan dan sikap yang salah dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab dalam memberikan khidmat telah menjadi antara sebab dinamisme guru Melayu sekarang merudum.

Saya cuba memikirkan lagi kebimbangan Naib Canselor itu ketika dalam perjalanan pulang ke Singapura - meninggalkan kampus UPSI di Tanjung Malim.

http://cyberita.asia1.com.sg/mkomentar/story/0,6879,180952,00.html?

No comments: