Oleh Noor Hasnah Adam
UNGGAS atau burung merupakan haiwan yang sering diperkatakan dalam sastera sejarah atau dongeng-dongeng Melayu.
Pelbagai jenis burung mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.
Dalam sastera Melayu lama, terdapat seekor burung yang dipercayai merupakan burung gergasi dan mempunyai kuasa hikmat.
Burung garuda dikatakan berbentuk sebahagian manusia dan sebahagian burung. Ada kepercayaan yang mengatakan burung garuda merupakan salah satu dewa Hindu.
Hikayat Merong Mahawangsa atau 'Sejarah Kedah' banyak melibatkan burung dalam penceritaannya.
Hikayat ini dimulai dengan taufan yang membubarkan angkatan laut yang mengiring anak Raja Rom dalam pelayarannya ke Benua China gara-gara seekor burung garuda.
Burung garuda ini kononnya duduk bersendirian di Pulau Langkawi selepas peperangan Pyrhic antara Sri Rama Vishnu dengan Hanuman (dewa Monyet) yang telah membinasakan pulau itu.
Pada suatu hari datanglah seekor burung rajawali (kingfisher) berjumpa burung garuda itu dan menyampaikan berita bahawa anak Raja Rom sedang bersiap hendak berangkat ke Benua China kerana Raja Rom akan berkahwin dengan seorang puteri Raja China. Rajawali mendapat berita itu daripada seekor burung kakak tua (parrot) yang menyatakan juga angkatan Raja Rom sangat besar.
Apabila burung garuda mendengar berita itu, garuda berazam hendak menghalang perkahwinan itu daripada terjadi. Sebelum garuda berbuat demikian, garuda pergi menghadap Nabi Allah Sulaiman terlebih dahulu.
Burung garuda memaklumkan kepada baginda Nabi Sulaiman bahawa perkahwinan itu tidak harus terjadi kerana kedua-dua anak Raja itu tinggal berjauhan.
Nabi Allah Sulaiman bersabda jika sudah ada jodoh pertemuan di antara kedua-duanya, tiada sesiapa dalam dunia ini berkuasa boleh menahannya.
Burung garuda itu dengan bongkaknya menjawab bahawa dia boleh menahan perkahwinan itu daripada berlaku. Jika tidak berjaya, garuda akan berundur dari dunia ini.
Burung garuda itu pun bermohon pergi lalu terbang ke Benua China dan berjanji akan balik menghadap Nabi Sulaiman untuk menceritakan kesudahannya.
Sesampainya di benua China, garuda pun menyambar Puteri Raja China itu dengan kukunya bersama dengan dayang dan kundangnya (budak suruhan) lalu diterbangkan ke Pulau Langkawi.
Di Langkawi, puteri dengan dayang dan kundangnya diletakkan dalam sebuah mahligai.
Sementara itu, angkatan laut anak Raja Rom pun berlayar di bawah perintah Raja Merong Mahawangsa. Ayah Merong Mahawangsa ini ialah keturunan indera-indera dan bondanya berasal dari dewa-dewa raksasa. Mengikut kepercayaan Hindu, indera merupakan golongan dewa yang memerintah angkasa kayangan.
Selepas angkatan laut itu bertolak, garuda itu pun datang menyerang. Setiap kali garuda cuba hendak membinasakan kapal-kapal angkatan itu, Merong Mahawangsa menukar anak panahnya menjadi jentayu untuk menangkisnya. Jentayu merupakan sejenis burung seperti garuda juga. Burung ini mempunyai sifat suka berseru meminta hujan.
Sewaktu kapal Merong Mahawangsa singgah di sebuah pulau kerana hendak mengambil bekalan air dan terpaksa berpisah dengan kapal-kapal yang lain, burung garuda telah berjaya menyempurnakan cita-citanya. Garuda telah menenggelamkan kesemua kapal.
Burung garuda itu menyangka bahawa anak Raja Rom telah mati lemas tetapi sebenarnya anak Raja itu dapat menyelamatkan dirinya dengan bergantung pada sekeping papan lalu hanyut dibawa arus ke pantai Pulau Langkawi.
Di pulau itu, anak Raja Rom telah berjumpa dengan dayang dan kundang Puteri Raja China itu dan dibawa menghadap Puteri Raja China. Burung garuda itu tidak tahu tentang hal ini kerana dirahsiakan. Anak Raja Rom itu bersembunyi di dalam sebuah gua.
Setelah yakin bahawa anak Raja Rom itu telah terkorban, burung garuda pun terbang pergi menghadap Nabi Allah Sulaiman untuk memaklumkan sembah dengan takburnya mengatakan bahawa dia telah menangkap Puteri Raja China, dayang dan kundangnya dan telah memusnahkan angkatan laut Raja Rom serta membunuh anak Raja Rom.
Apabila Nabi Allah Sulaiman mendengar percakapan takbur burung garuda itu, Nabi Sulaiman pun menitahkan Raja Jin yang bernama Harman Shah, menghantarkan wazirnya (menteri) dengan seratus orang jin membawa Puteri Raja Cina dan anak Raja Rom serta dayang dan kundang masuk menghadap. Wazir itu pun menyembah dan membawa balik keempat-empat orang itu.
Disebabkan malu di atas kegagalannya menahan perkahwinan itu, burung garuda pun terbang berundur dari dunia membuang diri seperti mana yang telah dia janjikan.
Nabi Allah Sulaiman pun memerintahkan Harman Shah membawa kedua-dua putera dan puteri ke Benua China dan dikahwinkan mengikut adat istiadat anak raja-raja.
Raja Merong Mahawangsa, yang menyangka anak Raja Rom itu telah hilang, belayar masuk ke Kuala Merbok dan menurut sejarah Kedah, ia telah dilantik menjadi Raja Kedah yang pertama.
Setiap hikayat Melayu perlu direnungkan secara mendalam dan tidak boleh dinilai secara tersurat. Penggunaan burung-burung dalam dongeng atau Hikayat Kedah ini mungkin terjadi untuk mengaitkan kisah-kisah sejarah Islam yang banyak juga menceritakan perihal burung.
Penggunaan burung-burung dan watak Nabi dalam hikayat ini mungkin untuk menguatkan kepercayaan masyarakat zaman itu tentang tingginya darjat raja mereka. Mungkin juga, pencerita Melayu yang bijaksana menggunakan burung-burung sebagai simbol kuasa dan sindiran terhadap perlakuan manusia.
Falsafah Melayu turut terlihat kerana burung dianggap sebagai haiwan yang dapat menghubungkan kuasa di langit dan di bumi, antara dunia nyata dan dunia misteri.
Dalam pepatah peribahasa Melayu turut menggunakan berbagai jenis burung sebagai perumpamaan dan nasihat kepada masyarakat.
Burung terbang dipipiskan lada bermaksud, belum tentu lagi memperolehi sesuatu tetapi sudah direka-reka akan gunanya.
Kuat burung kerana sayap bermaksud setiap orang mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Ibarat burung, mulut manis jangan dipakai membawa maksud kata-kata yang manis-manis selalunya mengandungi semu atau hanya berpura-pura. Membadai burung atas langit, merendah diharap jangan pula membawa maksud janganlah kita terlalu mengharapkan sesuatu yang sukar untuk mendapatkannya.
Dengarkan cerita burung, anak di pangku dilepaskan bermaksud meninggalkan urusan sendiri untuk menyelesaikan urusan orang lain.
http://cyberita.asia1.com.sg/mrencana/story/0,6879,175598,00.html?