Sunday, October 18, 2009

Bersemangat bantu mangsa gempa Padang (BH, 19.10.09)

SELAMAT PULANG: LTC (Dr) Mohamad Rosman memeluk erat anaknya, Zara, engan diperhatikan isterinya, Cik Khaiyisah, sekembali beliau ke tanah air selepas berbakti membantu mangsa gempa di Padang.


Pasukan perubatan SAF rawat ramai pesakit dan sediakan klinik bergerak

Oleh Safhras Khan

SECARA purata, beliau dan pasukan perubatannya menolong 100 mangsa gempa bumi sehari di Pariaman, Padang.

Bagi Leftenan Kolonel (Dr) Mohamad Rosman Othman, cabaran terbesar yang dihadapi pasukannya ialah bilangan pesakit yang ramai menunggu giliran untuk dirawat.

'Apabila kami tiba di Pariaman untuk memulakan operasi, ramai pesakit ingin dirawat. Ini amat mencabar. Tetapi pasukan saya dapat menjalankan tugas dengan penuh motivasi dan menghabiskan masa yang lama untuk merawat pesakit,' ujar LTC (Dr) Mohamad Rosman, 36 tahun.

Beliau mengetuai pasukan perubatan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang dikerah ke Pariaman untuk menolong mangsa gempa yang melanda Sumatera pada 30 September lalu.

Pasukannya bermarkas dekat Hospital Awam Pariaman.

'Kami juga harus bersikap fleksibel dengan keadaan daerah itu, apatah lagi hospital tersebut mengalami kerosakan teruk,' kata LTC (Dr) Mohamad Rosman semasa ditemui di Muzium Angkatan Udara semalam.

Beliau antara 87 anggota SAF dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang pulang semalam selepas menghabiskan masa dua minggu membantu mangsa gempa itu.

Selain menolong mangsa di kawasan Pariaman, pasukan perubatan itu mengadakan klinik bergerak di kawasan Koto Bongko.

'Di Koto Bongko hanya ada seorang doktor sahaja. Beliau gembira kerana kami bersedia membantunya di kawasan itu,' kata LTC (Dr) Mohamad Rosman.

Menurut beliau, pasukan klinik bergerak itu dianggotai dua orang doktor dan enam paramedik. Pasukan tersebut beroperasi dari 10 pagi hingga 4 petang setiap hari.

Kepulangan LTC (Dr) Mohamad Rosman disambut gembira oleh isterinya, Cik Khaiyisah Abdullah Chng, dan anak perempuan mereka, Zara, lapan bulan.

Cik Khaiyisah, 30 tahun, bangga akan sumbangan suaminya.

'Beliau memang ingin membantu dan sebelum pergi bagi misi ini beliau telah banyak membuat persediaan,' katanya.

Kini LTC (Dr) Mohamad Rosman ingin menghabiskan masa dengan anaknya.

'Saya rindu akannya,' ujar beliau sambil tersenyum.

Kepulangan pasukan itu disambut Panglina Tentera Darat, Mejar Jeneral Neo Kian Hong. Dalam ucapannya, beliau berkata misi tersebut menunjukkan SAF sentiasa bersiap sedia untuk menolong walaupun dalam jangka masa yang singkat.

'Sebagai jiran, Singapura harus membantu Indonesia. Pasukan kami juga telah berjaya membina dua klinik mudah alih, satu di Koto Bongko di Pariaman dan satu lagi di Padang Pasir di Padang,' ujarnya.

Sementara itu pasukan perubatan SCDF yang ditugaskan ke Rumah Sakit Umum Daerak Pariaman juga telah pulang semalam. Pasukan itu terdiri daripada seorang doktor dan dua paramedik.

Mereka antara 42 anggota Kontingen Operasi Lionheart SCDF yang dikerahkan ke Padang pada 2 Oktober lalu.

Seramai 39 anggota lain SCDF telah pulang ke Singapura pada 8 Oktober lalu.

Friday, October 9, 2009

MBMS akan wujudkan kumpulan pakar bahasa Melayu (BH, 10.10.09)

Oleh Linilidia Abdul Hamid

MAJLIS Bahasa Melayu Singapura (MBMS) akan mewujudkan kumpulan pakar bahasa Melayu.

Di samping itu, MBMS juga akan menemui badan-badan Melayu untuk merangka acara-acara kebahasaan bagi mengembangkan bahasa kebangsaan Singapura.

Badan bahasa itu juga akan mengadakan acara mengumpul dana bagi menampung kegiatan-kegiatan yang diharap dapat diadakan sepanjang tahun dan tidak tertumpu pada Bulan Bahasa sahaja, jika perlu.

Kesemua itu telah diumumkan Pengerusi MBMS, Encik Hawazi Daipi, dalam satu acara jamuan teh anjuran MBMS di Restoran Tepak Sireh semalam.

Menyentuh tentang penubuhan kumpulan pakar bahasa Melayu, beliau berkata pihaknya ingin mengenal pasti tokoh-tokoh atau kalangan individu yang boleh menjadi rakan bahasa Melayu.

'Mereka boleh menjadi contoh dalam bidang yang mereka khususi. Contohnya, saya harap kita dapat kenal pasti golongan karyawan yang boleh menggunakan bahasa Melayu dengan baik supaya menjadi rakan bahasa Melayu. Mereka inilah yang akan menjadi contoh kepada karyawan lain untuk menggunakan bahasa Melayu sebaik mungkin,' ujar Encik Hawazi, Setiausaha Parlimen Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kesihatan).

Mengenai pertemuan dengan badan-badan Melayu, beliau berkata pertemuan akan diadakan 'pada bulan-bulan mendatang'.

Mengenai soal dana, selain daripada sumbangan pemerintah sebanyak lima kali ganda daripada apa yang dikumpulkan MBMS, Encik Hawazi berharap jumlah itu dapat ditambah melalui kegiatan pengumpulan dana daripada masyarakat.

Beliau, bagaimanapun, tidak memberikan perincian mengenai usaha itu.

Semasa ditemui di akhir majlis, Ketua Jabatan Bahasa Melayu Institut Pendidikan Nasional (NIE), Universiti Teknologi Nanyang, Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat, berkata usaha mengadakan kumpulan pakar adalah sesuatu yang wajar.

'Kita perlu membina segolongan elit budaya, di mana jumlahnya harus cukup dan mantap. Elit budaya ini diperlukan dalam bidang kepakaran tertentu dari segi linguistik, bahasa dan kebudayaan,' ujar beliau.

Monday, August 17, 2009

Peluang sama rata bagi pelajar Muslim kerana SJI toleran terhadap semua agama (BH, 18.08.09)

PENDIDIKAN MENYELURUH: Menurut Dr Koh (kanan) dan Encik Azhar, seperti pelajar lain di sekolah itu, pelajar Muslim, seperti Umar, turut berpeluang berjaya kerana sistem pendidikannya kukuh dan menyeluruh.


Oleh Safhras Khan

PELUANG saksama bagi mencapai kecemerlangan, ruang bersama untuk pelajar pelbagai kaum dan agama bergaul serta kebebasan mengamalkan agama masing-masing.

Inilah yang disediakan St Joseph's Institution, sebuah sekolah Katholik, bagi semua pelajarnya.

Oleh itu, bagi lebih 88 pelajar Melayu di sekolah itu, walaupun mereka kumpulan minoriti, mereka tidak pernah dilayan sebagai orang luar. Sebaliknya, mereka anggota sebuah keluarga yang lebih besar.

Malah, mereka diberi kelonggaran mengerjakan solat Jumaat di Masjid Ba'alwie yang terletak tidak jauh dari sekolah di Malcolm Road itu.

Pelajar menengah dua ekspres sekolah itu, Umar Mohd Noor, 14 tahun berkata dia gembira diberi peluang belajar di situ.

'Kami mempunyai guru-guru yang mengambil berat bukan saja dari segi pendidikan bahkan perkembangan peribadi kami.

'Sistem pendidikan di sini fleksibel dan pelajar Melayu diberi kebebasan untuk ke masjid pada hari Jumaat,' ujarnya, yang meraih agregat 248 dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Seorang lagi pelajar menengah dua, Ahmad Syadzwan Jamaluddin, berkata pelajar SJI diberi peluang saksama untuk mencapai kecemerlangan dan mengasah kebolehan serta bakat.

'Saya memilih SJI kerana ia satu institusi pendidikan baik dan prestasi pelajarnya dalam GCE peringkat 'O' cukup memberangsangkan,' ujarnya.

Dalam Rapat Hari Kebangsaan kelmarin, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata kegiatan keagamaan seperti doa, kelas Kitab Injil dan lain-lain tidak harus dijadikan kegiatan wajib di sekolah Katholik.

Beliau menyebut tentang pelajar SJI, Mohamed Salman Mohamed Khair, yang dipilih sebagai pelajar terbaik sekolah itu pada 2003 kerana kecemerlangan akademik dan sukan serta menjadi pemimpin pelajar.

Ketika ditemui semalam, pengetua SJI, Dr Koh Thiam Seng, menjelaskan bahawa anugerah pelajar terbaik diberi kepada pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang di dalam dan luar bilik darjah.

'Ia dianugerahkan tanpa menimbangkan soal agama atau bangsa. Kami ingin menyiapkan pelajar kami bagi menghadapi dunia sebenar dan kami mempunyai sistem pendidikan kukuh dan menyeluruh,' kata Dr Koh.

Menurut beliau lagi, pelajar SJI juga diberi peluang belajar bagaimana masyarakat berbilang bangsa dan agama Singapura ymenjalani kehidupan harian mereka.

'Kami membawa mereka ke masjid dan kuil dan juga mengadakan sesi yang membolehkan mereka mempelajari cara-cara pemakanan bangsa- bangsa lain,' ujarnya.

Seorang juru di SJI, Encik Azhar Ghazali, berkata sekolah itu mengamalkan keterbukaan dan bersikap toleran terhadap semua agama.

Wednesday, July 15, 2009

Kumpul khazanah bantu semarak dunia bahasa (BH, 13.07.09)

LANCAR BUKU BARU: Encik Zainul Abidin Rasheed (dua dari kanan), melancarkan buku-buku baru di Taman Warisan Melayu. Bersama beliau (dari kiri) ialah Encik Mohamed Latiff Mohamed, Dr Mohamad Arif Muhamad, Encik Mohamed Pitchay Gani Mohamed Abdul Aziz dan Encik Eddy Hassan. -- Foto TUKIMAN WARJI

USAHA pengumpulan dan penghayatan khazanah bukan sahaja tugas penting malah dapat membantu menyemarakkan lagi dunia bahasa dan persuratan Meayu Singapura kontemporari, kata Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), Encik Zainul Abidin Rasheed.

'Saya sangat berharap lebih banyak inisiatif seumpama ini dapat digerakkan dengan lebih banyak pertubuhan tempatan agar usaha membangun khazanah warisan bangsa dan negara menjadi tunggak pergerakan pertubuhan-pertubuhan tempatan.

'Simbiosis antara pertubuhan yang mempunyai cita-cita yang sama yakni membangunkan modal insan wajar diselidiki dan dikembangkan seperti yang dilakukan dan dijanakan oleh Asas 50 dan Taman Warisan Melayu,' kata Encik Zainul lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Majlis Pelancaran 2000 Pameran Bahasa Melayu di Taman Warisan Melayu semalam.

Dua buku, 2000 Tahun Evolusi Bahasa Melayu - Dari Zaman Purba ke Budaya Elektronik dan Legasi Bahasa Melayu turut dilancarkan semalam.

'Pameran ini adalah satu usaha memelihara jati diri bangsa agar mereka tahu akan asal-usul bahasa dan memahami dinamik bahasa itu sehingga ia kekal pada zaman ini,' kata Encik Zainul yang juga Anggota Parlimen bagi GRC Aljunied.

Beliau berkata kecemerlangan anak-anak Melayu dalam bidang sukan dan ketenteraan merupakan contoh evolusi bangsa Melayu yang semakin hangat menjana masa hadapan yang cerah di persada negara.

'Baru-baru ini masyarakat kita telah menyambut berita yang amat memberangsangkan berkenaan kelahiran atlit-atlit muda Melayu yang gigih mengibarkan bendera negara di Sukan Belia Asia seperti Dzulhaili Mohd Kamal dan Shahrir Mohd Anuar.

'Kita juga telah menyambut dengan penuh rasa bangga pelantikan Brigedier-Jeneral Ishak Ismail sebagai Brigedier-Jeneral pertama Melayu Singapura,' kata beliau lagi.


Wednesday, May 20, 2009

ORANG-ORANG

Disalib di tengah padang
Tercancang tinggi si orang-orang
Sungguh senang-lenang
Hanya mengira kumbang di ladang

Si orang-orang
Gagah dipalang
Boneka tanpa jiwa
Tanpa minda tanpa nyawa
Hanya gemar menunggu masa

Si orang-orang
Hanya berupa manusia
Bila berkata semua tipu belaka
Bukan tugasnya untuk berhujah

Si orang-orang
Benak fikiran dipenuhi rumput kering
Cuba berfikir kepala runsing
Maka jadinya bukan untuk membuat bising

Si orang-orang
Hanya kepura-puraan
Hendak bergerak tidak berdaya
Lupakan sahaja niatmu boneka

Si orang-orang
Selama ini kau gemar menunggu masa
Menjelang waktu kau terus binasa
Diredah dihancurkan kuasa dek cuaca

Jika orang menyerupai si orang-orang
Jangan difikirkan pucuk di cita ulam mendatang

Iltizam, East Coast, 23.10.02, 1600hrs

Tuesday, May 12, 2009

MUNAFIK

Sungguh bersenda gelagat dunia
Menyahut terlolong munafik semuanya
Berwajah takwa diselaputi durjana
Lupa dek lewa amat berdosa

Iman pada gerak pada lagak
Zalim pada taulan yang merangkak
Pendusta sering memekak
Kewajipan diabaikan telinga buat pekak

Tangan mengapai dibiarkan longlai
Menyusun bicara jiwa tergadai
Membela nusa dipalu badai
Membiarkan kelapa ditebuk tupai

Luncai teruskan helah mu
Pak Kaduk teruskan bodoh mu
Lebai Malang teruskan tamak mu
Pak Pandir teruskan khilaf mu

Pedang berintikan dakwat diayunkan
Berteriak takwa kebaikan insan
Padahal mereka bak ikan haruan
Amat munafik mengorbankan teman

Perjuangan yang tidak logik
Ideologi yang amat jijik
Ngomong-ngomong dilitupi munafik
Wa Na'uzubilah Min Zalik

Iltizam, Marsiling Rise, 23.12.02, 2340hrs

Tuesday, May 5, 2009

MASAGOS GESA DANA GALAK BAHASA MELAYU DIMANFAAT (BH, 05.05.09)




Turut dorong guru bahasa Melayu dapatkan ijazah

OlehShamsul Jangarodin

PARA mahasiswa dan pensyarah daripada program Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Melayu di Universiti SIM (UniSIM) dialu-alu memanfaatkan dana Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti bahasa dan sastera.

Guru-guru bahasa Melayu yang belum memiliki sarjana Muda juga digalak mempertingkat diri dengan mengambil kursus-kursus ijazah supaya mereka dapat mempertingkat kebolehan mengajar bahasa Melayu.

Mendedahkan tawaran penggunaan dana MLLPC itu, Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata tujuan utamanya ialah untuk melestarikan penggunaan bahasa Melayu di kalangan para pelajar dan guru.

'Dana MLLPC telah lama diadakan tapi ia khusus diperuntukkan untuk aktiviti-aktiviti badan-badan Melayu setempat,' kata Encik Masagos sewaktu mengadakan lawatan menemui mahasiswa dan pensyarah program sarjana muda itu di kampus UniSIM semalam.

Sejauh ini, lebih $550,000 daripada dana bernilai $1.5 juta yang diperuntukkan Kementerian Pendidikan (MOE) telah pun digunakan.

'Justeru, kita dapat melihat bahawa pemerintah sentiasa memberikan sokongan dalam apa jua program atau inovasi untuk meluaskan dan meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan pelajar dan pengguna bahasa Melayu yang lain,' ujar Encik Masagos.

Dalam pada itu, Encik Masagos turut mengalu-alukan guru-guru yang tidak mempunyai pendidikan universiti menyertai program ijazah sarjana muda Bahasa Melayu yang diadakan secara sambilan itu.

'Setakat ini, daripada 1,200 guru bahasa Melayu, 35 peratus berpendidikan universiti. Kita ingin meramaikan lagi guru-guru bertauliah,' jelas Encik Masagos.

Kohort pertama program tersebut yang dimulakan Januari lalu menarik 48 mahasiswa manakala kohort kedua yang bakal dimulakan Julai nanti mempunyai 98 bakal mahasiswa.

Program yang ditawarkan secara sambilan ini membolehkan guru bahasa Melayu Sekolah Rendah Qihua, Encik Mohd Hizammuddin Mohd Yusof, 30 tahun, yang sudah berumah tangga, menyertainya tanpa perlu berhenti kerja.

Sebelum ini, beliau setakat memiliki diploma pendidikan bahasa Melayu.

'Selain itu, tangga gaji seorang guru yang berkelayakan diploma lebih rendah berbanding seorang guru yang berkelayakan ijazah sarjana muda,' jelas Encik Mohd Hizammuddin.

Datuk tiga orang cucu, Encik Yahya Abu Hassan, 53 tahun, menyertai program tersebut kerana ingin mempertingkat ilmu dan kemahiran diri sebagai seorang jurubahasa di Mahkamah Tinggi.

'Saya juga mahu menyarungkan jubah dan mengenakan topi mortarboard untuk bapa saya yang memang mahu melihat saya mendapat ijazah dari dulu lagi,' jelas Encik Yahya.